سلامت داتڠ ك لامن راسمي سكوله كبڠسأن ڤاڬر بسي ﴿سكوله بيستاري لوار بندر﴾ كوالا نيروس ترڠڬانو

Monday, December 26, 2016

KATA KATA ALUAN MESYUARAT GURU KALI 1 2017 GURU BESAR SKPBe

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya dapat kita bersama-sama lagi pada tahun 2017 ini dalam meneruskan perjuangan dan khidmat bakti di SK Pagar Besi yang tercinta ini. Ucapan terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada warga SK Pagar Besi yang telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik sepanjang tahun 2016.

Warga SK Pagar Besi yang saya hormati,


Sebagai warga pendidik, kita seharusnya sedar bahawa pelajar hari ini adalah merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan negara. Justeru, besarlah peranan kita agar amanah yang kita pikul ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya agar harapan dan impian seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara dapat direalisaasikan. Perubahan format baharu peperiksaan UPSR dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenalkan baru-baru ini oleh Kementerian Pendidikan memerlukan para guru lebih kreatif, berilmu, berdisiplin dan bekerja lebih kuat.



Kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang perlu ditempuhi. Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”,”Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Oleh itu kepada para warga SK Pagar Besi, marilah bersama-sama saya, berganding bahu meneroka dan mengaplikasikan pelbagai kaedah dan strategi dalam usaha mencipta kejayaan buat anak-anak didik yang tersayang.


Hendaknya segala kejayaan dan kelemahan dan kesilapan sepanjang 2016 dijadikan sebagai perangsang dan pembakar semangat untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada tahun ini. Kejayaan anak-anak didik kita dalam pelbagai bidang kokurikulum hingga ke peringkat kebangsaan perlu diselarikan juga dengan bidang akademik agar seimbang dan lebih berdaya saing. Semangat kerjasama dan pemuafakatan antara warga SK Pagar Besi perlulah sentiasa dibaja dan dibelai agar segala kerja yang dilaksanakan dapat dilakukan dalam suasana penuh harmoni dan keceriaan. Bak kata pepatah, “ Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni’ dan “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’.

Sesungguhnya diakui bahawa tugas guru kini semakin mencabar sejajar dengan peredaran zaman. Pelbagai dasar baru diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan yang menuntut kewibawaan dan sikap profesionalisme yang tinggi oleh para guru. Harapan tinggi negara, masyarakat dan ibu bapa khususnya terhadap kejayaan anak-anak murid dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri bukanlah satu kerja yang senang. Namun semua itu perlu dihadapi dan diharungi oleh para guru dengan hati yang tabah dan ikhlas.

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua warga SK Pagar Besi atas perkhidmatan yang telah diberikan selama ini. Diharapkan pada tahun 2017 ini, kita semua akan lebih bersemangat dan istiqamah dalam profesian keguruan yang mulia ini demi menaikkan imej pendidikan negara amnya dan SK Pagar Besi khususnya.


Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Memperkasakan Transformasi Pendidikan
‘Hebat, Disiplin Cemerlang’






Hayati Binti Othman

No comments: